Teh Puerh (juga dikenali sebagai teh matang atau teh vintaj) adalah salah satu lambang kehebatan Negara China dan semakin dikenali di negara-negara barat. Seperti pengeluar-pengeluar teh yang lain, pengeluaran teh puerh sangat teratur dan bersistem untuk memastikan kualiti yang tinggi dan mengekalkan ketulenan teh puerh. Negara China telah menegaskan, hanya teh puerh yang dimatangkan di wilayah Yunnan sahaja layak di panggil Teh Puerh.

Pokok-pokok teh telah ditanam, dibesarkan dan dituai disepanjang Sungai Lancang. Setiap estet mempunyai keutamaan dalam menghasilkan daun-daun teh yang tersendiri, meliputi dari pucuk-pucuk daun dan juga daun yang lebar serta lembut. Ke semua pohon teh dibiarkan tumbuh meliar di sepanjang lereng bukit. Setengah-setengah pokok teh dikatakan berusia lebih dari seribu tahun. Daun teh yang di kutip dari pokok-pokok ini kategorikan sebagai “daun liar”. Daun-daun teh yang dituai akan dihantar ke kota Pu-Erh, dimana pengeluar teh akan menghasilkan resepi-resepi yang unik dan tersendiri serta tidak lapuk ditelan zaman dalam penghasilan teh puerh. Mengikut sejarah, teh puerh yang dimampatkan menjadi salah satu eksport komoditi yang penting di Yunnan pada zaman dahulu.